KOTA BHARU – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Kota Bharu dan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan berpendapat bahawa gejala buang bayi yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini berpunca daripada pergaulan bebas dan jenayah zina yang tidak ditangani sewajarnya.
Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, kedua-dua NGO tersebut menyatakan bahawa sejak tahun 2000 hingga Julai 2008 sahaja terdapat lebih daripada 257,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa dikeluarkan, manakala untuk tempoh dari Januari hingga Jun 2010, 45 kes pembuangan bayi telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 75 kes bagi sepanjang tahun 2009.IKRAM Kota Bharu dan Wanita JIM Kelantan bagaimanapun yakin bahawa gejala sosial ini boleh dibendung dengan pendekatan holistik membabitkan semua pihak dalam masyarakat dan negara.
“Prinsip syariat Islam perlu dilaksanakan melalui pencegahan dengan mengutamakan pendidikan yang menyeluruh, menutup pintu-pintu kemudaratan serta merawat melalui aktiviti pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam usaha menangani gejala sosial ini daripada terus membarah dalam masyarakat, kedua-dua NGO ini menyarankan agar masyarakat kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama. Umat Islam perlulah mempelajari dan mengamalkan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah.
Selain itu, pendidikan yang merangkumi aspek kehidupan perlulah bermula dari rumah di samping ibu bapa sendiri harus berperanan dalam mendidik serta prihatin dengan perkembangan anak-anak.
"Media juga seharusnya sama-sama bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dan tidak menyebarkan bahan-bahan yang menggalakkan dan merangsang remaja untuk terlibat dalam aktiviti gejala sosial dan keruntuhan akhlak."
Tidak kurang pentingnya, menurut kenyataan itu lagi, penguatkuasaan undang-undang haruslah dijalankan dengan tegas. Pesalah jenayah zina dan buang bayi hendaklah dikenakan hukuman setimpal agar ia menjadi iktibar buat masyarakat, seterusnya menghentikan gejala ini daripada terus berleluasa.
No comments:
Post a Comment